September 15, 2007
Berita Harian - Saturday 15th September 2007 by Rafaat Hamzah
My deepest appreciation and thanks to Mr Rafaat Haji Hamzah for having written a great article with regards to my album launch. Anyway, the article published in Berita Harian today was unfortunately edited, thus taking away the essence or should i say 'atmosphere' of the full article written. Therefore to give due credit to the full article written, here it is:- ----------------------------------------------------------------------------------------- Bersuara dalam rendah diriApakah ‘Destinasi Impian’ anda dan sejauh manakah kesugguhan anda untuk benar-benar sampai ketempat yang dituju? Bagi Zaibaktian, kegembiraan dan kepuasannya terserlah dengan kelahiran albumnya yang berjudul ‘Keagungan Mu’ itulah ‘Destinasi Impian’nya.
Dalam suasana yang amat sederhana tetapi cukup meriah, ramai teman, sahabat-handai dan keluarga turut serta merayakan kelahiran album sulungnya. Upacara pelancaran album ini telah diadakan di ‘Hajah Esah CafÈ’ di Bussorah Street. Sambil menikmati segelas kopi ‘o’ panas, penulis merasa amat terhibur sekali dengan suasana petang walaupun terasa sedikit hangat selepas hujan.
Pelancaran yang mulanya dirancang dan dihebahkan bakal diadakan disalah sebuah restoran lain bertukar kepada ‘Hajah Esah CafÈ’ ini berikutan dengan kegenjotan restoran yang mulanya ingin menaja ruang mereka tetapi pada saat-saat akhir meminta bayaran. Ketara sekali ada rahmatNya apabila ternyata, suasana di Bussorah Street menjadi meriah pada petang itu.
Kegenjotan pada saat akhir tidak terhenti disitu apabila kurang dari setengah jam acara dimulakan, hujan turun menimpa gelanggang. Zaibaktian masih tenang dalam kegelisahan dan kegairahannya. Cabaran dan rintangan yang dua ini bukan suatu hal yang baru baginya. Pelbagai rintangan lain telah dilalui dalam usaha untuk melahirkan ‘Keagungan Mu’ malah Zaibaktian pernah terperangkap dalam skim penipuan dan janji palsu untuk mengketengahkan karya-karyanya.
Akhirnya, seperti kata-kata yang beberapa diulangi oleh pengacara majlis, penyanyi Didicazli, keikhlasan telah membawa kejayaan pada Zaibaktian. Suatu nama yang jarang sekali kita dengar dalam industri muzik dan seni tanahair telah dalam diam menggarap deria pandang dan dengar berbekalkan minat, bakat dan keikhlasan, Zaibaktian terbukti tidak kalah, malah dapat dibanggakan dengan penciptaan, susunan muzik dan penulisan lirik pada lagu-lagunya.
Lagu pembukaan dalam album ini ‘Destinasi Impian’ adalah sekilas pandang perjuangan dan perjalanan Zaibaktian dan merealisasikan album ini. Jelas sekali setiap apa yang dirasa telah tersusun dalam kata-kata lagu ini. Dengan rentak yang agak ‘up tempo’ pendegar juga dapat merasakan bahawa disebalik segalanya Zaibaktian tidak pernah putus semangat.
Lagu-lagu yang lain juga turut mencerminkan keperibadian dan pemikiran Zaibaktian. Tidak ada lagu yang rasanya dibuat-buat atau diada-adakan. Segalanya terlahir dari keikhlasan berkarya.
Lagu yang menjadi judul album ini, ‘Keagungan Mu’ jika diteliti merupakan sebuah lagu spiritual yang berunsur puji-pujian pada yang Esa namun ianya dianyam dengan rentak joget yang membangkitkan semangat dan menghiburkan.
Beberapa buah lagu lain yang menjurus kearah lagu balada seperti lagu ‘Mawar Merah’ juga tidak kurang hebat dan menarik sekali. ‘Pesona Rindu’ ditaruh Zaibaktian sebagai lagu yang bakal menjadi hits, namum bagi penulis lagu ‘Taman Cinta’ juga amat berpotensi mendaki carta. Sementara lagu ‘Tempat Ku Di Sisi Mu’ jelas sekali adalah ‘trip’ sufi peribadi Zaibaktian dengan Maha Pencipta.
Zaibaktian, sebagai seorang pemusik, penyanyi, pencipta dan penulis lirik telah membuktikan kehebatannya. Vokalnya yang mempunyai keunikan yang tersendiri pastinya dapat menonjolkan dirinya sebagai seorang seniman yang mendukung identiti tersendiri. Namun sebagai seorang penghibur, Zaibaktian perlu menimba ilmu dalam berkomunikasi dengan penontonya. Jelas sekali, Zaibaktian masih gugup apabila berbicara dengan penonton. Untung sekali dalam mempersembahkan lagu-lagunya, Zaibaktian cukup menghiburkan. Biarlah kali ini hanya lagu yang mengangkat keperibadian Zaibaktian sebagai seorang seniman yang ikhlas dalam berkarya dan penuh dengan rasa rendah diri. Seniman terbilang M. Nasir juga pada permulaan kerjayanya, tidak fasih berkata-kata.
Pelancaran album telah disokong oleh rakan-rakan artis baru dan lama dalam arena muzik. Dibuka dengan dendangan penyanyi-penyanyi muda yang berpotensi besar seperti Irma Yanti, Fairuz Adam, Rozaimi dan artis rakaman Didicazli. Barisan pemuzik yang hebat pula terdiri daripada Hazan, Hernee, Mahadir, Amin, Rafiz MH, Sofhian dan Izam. Sementara jurutera bunyinya ialah Yan J yang terlatih di Melbourne dibantu oleh Azli dan Zul A.S.
Kesemua mereka yang terlibat dalam acara pelancaran ini telah melibatkan diri mereka secara sukarela demi menyokong usaha Zaibaktian selaku penerbit ‘independent’. Dengan tenaga kerja dibantu oleh Merbuk Platoon yang sentiasa menyokong artis dan industri setempat.
Semangat kerjasama ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa sumbangan Hajah Esah CafÈ yang menaja restoran mereka. Sekilas pandang, dengan adanya usaha sebegini, ianya menjadi bukti bahawa tidak mustahil bagi seseorang individu mahupun berkumpulan untuk berkarya, menghasilkan album sekaligus menyemarakkan seni tanahair. Syabas dan tahniah pada Zaibaktian dan semua yang terlibat.
Oleh Rafaat Haji Hamzah
------------------------------------------------------------------------------------------
Labels: zaibaktian