September 20, 2010

KONGSI IMEJ, KONGSI PENTAS

KONGSI IMEJ, KONGSI PENTAS
Dua penyanyi dari dua zaman, Ahmad Jais dan Zaibaktian, akan digandingkan dalam Konsert Kasut Putih
By Hanim Md Salleh
19 Sept 2010


MEREKA datang dari dua era berbeza dengan lagu-lagu yang jauh berlainan genrenya.

Tetapi kerana berkongsi imej sebagai penyanyi yang suka memakai kasut putih, penyanyi Zaibaktian berpeluang berkongsi pentas dengan seniman veteran yang telah lebih dulu dikenali sebagai 'penyanyi berkasut putih,' iaitu Datuk Ahmad Jais.


Bezanya, sementara kasut Ahmad Jais biasanya agak tinggi tumitnya (dua inci atau 6.4 sentimeter), Zaibaktian pula gemar mengenakan kasut yang leper tapaknya dan memancang di bahagian depan.

Dua penyanyi tersebut akan sama-sama muncul dalam Konsert Kasut Putih, sempena Pesta Raya, yang akan berlangsung di Studio Resital Esplanade pada 30 Oktober ini.

Ketika dihubungi, Zaibaktian, yang popular dengan lagu Lelaki Baru, berkata idea menggabungkan beliau dengan Datuk Ahmad Jais diusulkan oleh penerbit konsert, Rafaat Haji Hamzah, yang juga pengurusnya dari Floppy Records.


Kebetulan, Rafaat, yang juga pelakon popular tempatan, meminati lagu-lagu Ahmad Jais.


Menceritakan bagaimana beliau mula muncul dengan kasut putih, Zaibaktian berkata:
'Memandangkan saya ini tak pandai bergaya dan bermula agak lambat sebagai penyanyi, saya dinasihatkan kawan-kawan agar memikirkan satu imej yang dapat membantu orang ramai lebih mudah mengingati saya secara visual.

'Kerana saya gemarkan warna putih, saya mengambil keputusan menggunakan warna itu sebagai asas pakaian saya... baju putih, kot putih, topi putih dan kasut pun putih.


'Anehnya, kalau saya berpakaian putih, tak ada pula orang mengusik saya. Tetapi kalau saya pakai sepatu putih, orang panggil saya Ahmad Jais. Apa pun, saya tak kecil hati kerana saya menghormatinya dan memang membesar dengan lagu-lagunya,' kata penyanyi itu lagi.


Sementara itu, Ahmad Jais yang kini menetap di Shah Alam, Selangor, ketika dihubungi menerusi panggilan jauh, mencuit hati wartawan apabila beliau bertanya tentang Espalande Teater Di Pesisiran.


'Setahu saya, Esplanade tempat jual sate, ada padang besar. Mana ada tempat konsert? Kalau Panggung Victoria, itu saya tahu,' ujar penyanyi berusia 74 tahun itu.


Katanya, sudah lebih 30 tahun beliau tidak mengadakan konsert solo atau eksklusif di Singapura. Kalau ada pun, beliau merupakan salah seorang penyanyi jemputan untuk acara-acara di ekspo dan menjadi bintang undangan konsert Ismail Haron.


Pada 2004, beliau pernah mengadakan konsert solo selama empat malam di Istana Budaya, Kuala Lumpur.


Walaupun beliau tidak dapat menggambarkan bagaimana bentuk Esplanade Teater Di Pesisiran, Ahmad Jais berkata beliau bersetuju untuk membuat persembahan bersama Zaibaktian kerana mahu menyokong persada muzik Singapura.


'Kita kena sokong budak-budak muda. Dulu pun saya muda dan suka diberi perangsang. Selain itu, Singapura dekat dengan hati saya kerana lagu-lagu popular saya banyak dirakamkan di Singapura, gubahan Kassim Masdor dan tulisan Yusnor Ef,' ujar bapa empat orang anak itu. Bahkan sembilan daripada 10 cucunya menetap di Singapura.


Apabila ditanya tentang kasut putihnya, beliau mengakui memilih warna itu kerana sukakan imej bersih.


Apa yang menarik perhatian, beliau rupa-rupanya tidak pernah membeli kasut di kedai, sebaliknya kesemua kasutnya, ditempah.


Bahkan semua seluar dan bajunya juga ditempah.


'Kalau saya tak tempah, takut seluar menyapu lantai atau tumit terlalu rendah,' jelasnya.


Bagaimanapun, sejak usianya meningkat senja, tinggi tumit kasutnya dikurangkan kepada 6.4 sentimeter saja.

'Saya pun dah semput-semput selalu. Kena jaga-jaga,' ujarnya.

Kalau Ahmad Jais mempunyai repertoire lagu yang cukup untuk konsert lebih sejam atau dua jam, sebagai penyanyi baru, Zaibaktian boleh dianggap beruntung kerana mempunyai beberapa lagu yang popular kerana digunakan sebagai lagu tema drama-drama tempatan.

Baru-baru ini, beliau menyanyi untuk lagu tema drama Hari Raya, Satu Raya Tiga Cinta yang dicipta Zaibaktian dan Shafiq Khamis.

Untuk siri drama baru, Kopi Bujang pula, beliau bergabung tenaga dengan Moe Masri dan Syed Azmir dalam dua lagu yang dihasilkan.


Singlenya, Dunia Yang Fana pula akan dijadikan lagu tema untuk drama Hari Raya Aidiladha.


'Saya gembira kerana hasrat saya meluaskan peranan dalam seni sejauh ini berada di landasan yang betul. Saya tak mahu setakat menyanyi dan buat album kerana bidang muzik dan nyanyian ini begitu luas. Alhamdulillah, lagu-lagu saya diterima sebagai lagu tema drama dan rasa bersyukur diberi tempat untuk menyanyi di Esplanade bersama seniman legenda.

'Insya-Allah, selepas lima tahun menimba pengalaman, saya bersedia menjadi penerbit pula,' kata Zaibaktian.Menurut Rafaat pula, konsert itu akan menghidangkan sekitar 15 lagu dengan sebahagian besarnya dinyanyikan oleh Ahmad Jais.

Untuk lagu duet, penyanyi Sarah Aqilah diundang untuk mengalunkan lagu-lagu yang pernah dirakamkan bersama Ahmad Jais dengan Rafeah Buang atau Kartina Dahari. Zaibaktian juga dijangka bergabung suara dengan penyanyi veteran itu.

Konsert Kasut Putih akan bermula 8 malam. Tiket berharga $19 boleh dibeli di Sistic.


Labels: , , , , , , ,

ZAIBAKTIAN ]|[ Monday, September 20, 2010